
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) disaran menubuhkan panel pemantauan bebas dan telus bagi memastikan tiada lagi insiden kes buli disorok oleh pihak sekolah.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Mohammad Azamuddin Sahar berkata, sekiranya pemantauan masih bergantung pada laporan sekolah, perbuatan itu berisiko berlaku lagi demi menjaga imej sekolah.
Menurutnya, panel yang dilantik haruslah terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni sekolah dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyemak laporan kes buli.
“Kami (mahasiswa) menuntut pembentukan Laporan kes buli mesti disatukan dalam data nasional yang boleh diakses awam tanpa mendedahkan identiti pelajar, selain audit iklim sekolah melalui soal selidik pelajar tentang tahap rasa selamat mereka.
“KPM juga perlu laksana segera Roadmap awal Pelan Nasional Anti-Buli dengan sasaran, garis masa, indikator kejayaan, dan laporan berkala setiap tiga bulan. Roadmap ini perlu menjadi asas kepada agenda kesejahteraan pelajar yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan himpunan protes di hadapan bangunan KPM, pada Khamis yang turut dihadiri oleh kira-kira 30 peserta, terdiri daripada mahasiswa di seluruh negara.
Himpunan itu juga turut menghantar memorandum sebagai cadangan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam menyelesaikan isu buli di sekolah secara holistik dan pragmatif.

Dalam pada itu, Mohammad Azamuddin berkata, keperluan KPM wujudkan modul latihan berteraskan Trauma-Informed Education agar guru dan warden memahami kesan psikologi buli selain protokol respons buli dilaksana secara holistik serta audit latihan tahunan bagi memastikan keberkesanan polisi terbabit.
Menurut beliau, KPM juga perlu meningkatkan nisbah kaunselor kepada pelajar, menyediakan hotline 24 jam mesra pelajar untuk aduan rahsia berkaitan buli, gangguan seksual dan tekanan mental, selain membuka ruang kerjasama dengan NGO psikologi serta fakulti kaunseling universiti.
“Ramai pelajar yang membuli sebenarnya datang daripada latar trauma keluarga, tekanan emosi atau gangguan mental. Namun, sistem kaunseling sedia ada terlalu lemah, dengan seorang kaunselor menanggung ratusan hingga ribuan pelajar.
“Wajibkan juga modul didikan keluarga melalui seminar berkala, kursus induksi ibu bapa baru bagi darjah 1, tingkatan 1, dan menekankan kesan gaya keibubapaan kasar terhadap perkembangan anak.
“PIBG perlu diberi peranan aktif dalam kempen kesejahteraan emosi, bukan sekadar memungut yuran. Buli hanyalah satu dimensi masalah murid. Isu lebih besar melibatkan kesihatan mental, gangguan seksual, dan tekanan akademik,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Azamuddin berpendapat, tahap keselamatan di sekolah perlu diperkasa menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di samping perlunya menubuhkan unit khas siasatan buli di setiap sekolah yang melibatkan PIBG, guru dan pihak polis.
“Laksana juga reformasi kurikulum melalui pengukuhan pendidikan sivik, moral dan empati, SOP pengendalian kes buli yang jelas, serta sesi libat urus bersama guru, NGO, mahasiswa dan komuniti bagi memastikan penyelesaian yang holistik.
“Kegagalan Kementerian Pendidikan untuk bertindak segera akan dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan pengabaian terhadap keselamatan generasi muda. Memorandum ini adalah suara rakyat yang menuntut perubahan konkrit, bukan lagi sekadar retorik dan kempen kosmetik.
“Kami tuntut jawapan dalam 30 hari. Jika tidak, kami tidak akan teragak untuk memobilisasikan mahasiswa serta rakyat dalam himpunan seterusnya jika KPM gagal beri jawapan dan jaminan pelaksanaan tuntutan dalam tempoh masa yang diberikan,” katanya.




