
KOTA KINABALU – Peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina, Hamid Ismail menjelaskan bahawa perintah larangan atau gag order yang dikeluarkan oleh mahkamah dalam prosiding pendakwaan kes pelajar berusia 13 tahun itu bukan kerana campur tangan pihak atasan, sebaliknya berlandaskan undang-undang Malaysia.
Beliau berkata, arahan tersebut adalah keputusan hakim yang dibuat mengikut peruntukan undang-undang, khususnya Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, yang secara jelas menghalang sebarang pendedahan identiti kanak-kanak terbabit termasuk nama, alamat dan maklumat keluarga.
Hamid turut berkata bahawa masyarakat tidak perlu membuat spekulasi berhubung larangan itu, sebaliknya memahami ia bertujuan melindungi kepentingan serta keselamatan kanak-kanak sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang.
“Masyarakat berharap hari ini terus ada tangkapan, tapi kena faham proses.
“Melalui seksyen ini identiti kanak-kanak adalah dirahsiakan sama ada dalam tempoh perbicaraan atau semasa siasatan.
“Bukannya sebab orang ternama atau disuruh sesiapa. Tidak, itu adalah undang-undang Malaysia. Jadi jangan salah sangka ini permainan ‘orang atas’.
“Ini adalah undang-undang kita, Seksyen 15. Boleh baca Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya ketika ditemui media selepas prosiding pertuduhan terhadap lima remaja itu di perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berharap Jabatan Peguam Negara akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pendakwaan lima remaja berkaitan perbuatan buli di Mahkamah Kanak-Kanak.
Katanya, pihaknya tidak boleh berkongsi apa yang berlaku dalam mahkamah berikutan larangan berkenaan bagi mengelak ‘contempt of court’.






