KENYATAAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri yang memainkan sentimen agama berhubung penggantungan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary selama dua hari merupakan satu bentuk politik yang mengecewakan.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membidas tindakan Ketua Pemuda Pas Perak itu yang sengaja membuat kenyataan mengelirukan dengan mengaitkan insiden yang terpalit kepada Ahmad Marzuk dengan sentimen agama dan perkauman.
Tegasnya, tindakan penggantungan itu sama sekali tidak ada kaitan dengan agama atau parti yang diwakili Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau seperti yang cuba digambarkan oleh Mohd Hafez.
“Sebaliknya penggantungan tersebut berlaku kerana Ahmad Marzuk berterusan melanggar arahan Pengerusi Dewan walaupun sudah diberikan ruang dan amaran berkali-kali.
“Kami semua mahu mendengar penjelasan Menteri Agama mengenai isu agensi-agensi agama. Tetapi tindakan Ahmad Marzuk sebenarnya telah mengganggu urusan Dewan.
“Sayangnya, pemimpin Pas seperti Mohd Hafez hanya tahu memutar belit isu ini dengan menyentuh soal agama dan kaum,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Syahredzan turut membangkitkan persoalan sama ada kenyataan Mohd Hafez itu dibuat untuk mengalihkan perhatian terhadap kelemahan pentadbiran Pas semasa mereka berkuasa.

“Untuk rekod, semasa mereka berkuasa, 23 syarikat bukan Bumiputera diberikan kontrak oleh Tabung Haji, tetapi sekarang dijadikan isu pula pada zaman Kerajaan MADANI,” katanya.
Menjelaskan mengenainya, Syahredzan berkata, beliau sendiri berada dalam Dewan Rakyat ketika insiden itu berlaku dan menjadi saksi kepada tindakan Alice Lau yang menggunakan Peraturan Mesyuarat 37(2) bagi menutup sesi pertanyaan selepas masa hampir tamat, semalam.
“Pada waktu itu, Ahmad Marzuk masih terus bertikam lidah dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar walaupun telah diberikan amaran.
“Timbalan Speaker memberi peringatan bahawa jika beliau bangun lagi, akan diminta keluar sebentar. Namun, setelah berulang kali mengingkari arahan, akhirnya beliau digantung selama dua hari,” katanya.
Justeru, Syahredzan menegur tindakan Mohd Hafez yang disifatkan tidak mengamalkan politik baharu matang seperti diharapkan daripada seorang wakil rakyat muda.
“Sepatutnya bawa politik segar dan membina, malangnya politik Pas masih terperangkap dengan cara lama yang sempit,” katanya.





