MAJLIS Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi meneliti bentuk kerjasama menghadapi PRN17 Sabah.
Ketua Sekretariat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
“Dalam menghadapi PRN Sabah, mesyuarat dimaklumkan mengenai penubuhan jawatankuasa teknikal bagi meneliti aspek kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, serta Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, pertemuan yang berlangsung dalam suasana harmoni itu mencerminkan kematangan politik serta iltizam memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Putrajaya dan Sabah.
Sementara itu, Asyraf berkata, mesyuarat itu turut bersetuju untuk menilai pencapaian-pencapaian Kerajaan Perpaduan dan mengambil perhatian terhadap semua teguran terhadap kerajaan.
“Mesyuarat juga memberikan perhatian tentang usaha-usaha pemantapan ekonomi negara dan program-program kesejahteraan rakyat,” katanya.





