KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mendakwa beberapa suspek berkaitan kes buli pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, keputusan terbabit dibuat selepas meneliti kertas siasatan yang dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada jabatan itu.
“Pendakwaan dibuat berdasarkan keterangan yang ada. Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli, tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.
“AGC turut menegaskan pendakwaan di mahkamah tidak menjejaskan siasatan yang masih dijalankan oleh pihak PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina,” katanya menerusi kenyataan, pada Isnin.

Terdahulu, Mahkamah Koroner pada Isnin menetapkan pendengaran inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina bermula pada 3 September depan.
Koroner Azreena Aziz menetapkan pendengaran pada 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September.
Tarikh itu ditetapkan pada prosiding sebutan inkues yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohd. Fairus Johari dari AGC Putrajaya selaku pegawai pengendali.
Beliau dibantu tiga TPR dari AGC Sabah iaitu TPR Dana Arabi Wazani, TPR Afiq Agoes dan TPR Dacia Jane Romanus. Seramai 195 deponen atau saksi dikenal pasti untuk inkues berkenaan.
Sebelum ini, Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan seorang individu yang mendakwa dirinya ‘pakar bedah’ kononnya terlibat dalam proses bedah siasat ke atas jenazah pelajar terbabit.
Dalam satu siaran langsung di platform TikTok pada Rabu lalu, ‘pakar bedah’ itu memberi gambaran berbaur konklusi seolah-olah mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberitahu, semakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki tersebut bukan kakitangan kementerian itu, apatah lagi terlibat dalam proses bedah siasat tersebut.




