CHELSEA terselamat daripada kekalahan selepas gol pemain Crystal Palace, Eberechi Eze dibatalkan ‘secara kontroversi’ ketika kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, malam tadi.
Chelsea yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Dunia Kelab, hampir mendahului seawal minit ketiga ke atas pelawat yang hadir dengan semangat memenangi aksi Perisai Komuniti tetapi tandukan Marc Cucurella diselamatkan Ismaila Sars.
The Blues yang menguasai bola selepas itu bagaimanapun dikejutkan apabila sepakan percuma bak peluru Eze membelah benteng yang dibina sekali gus menggegar gawang mereka pada minit ke-13.
Namun, skuad kendalian Enzo Maresca menghela nafas lega apabila pengadil Darren England membatalkan jaringan itu selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Marc Guehi menolak pemain Chelsea yang membina benteng.
Chelsea sekali lagi terselamat tujuh minit kemudian apabila Robert Sanchez menyelamatkan percubaan Jean-Philippe Mateta.
Menyedari kesukaran menembusi benteng pelawat, Maresca membawa masuk pemain remaja sensasi, Estevao Willian pada babak kedua.
Pemain berusia 18 tahun itu yang mendapat tepukan gemuruh penyokong berjaya menghidupkan jentera serangan tuan rumah, namun beberapa gerakan dan percubaan gagal menghasilkan jaringan.
Kebuntuan kedua-dua pasukan menjaringkan gol menyaksikan mereka terpaksa berkongsi mata.






