SEMPORNA – Tiga deretan premis dua tingkat milik sebuah kedai serbaneka musnah dalam kebakaran di Jalan Seri Melor Tinagayan, di sini, pada Ahad.
Kebakaran sama turut memusnahkan sebuah klinik pergigian yang yang berada di bahagian tingkat atas deretan premis terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.35 petang sebelum sepasukan anggota dan jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Bomba menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan air disebabkan tekanan pili Bomba rendah, bagaimanapun mendapat bantuan daripada lori tangki air Jabatan Air Sabah yang tiba pukul 8.30 malam.
“Operasi kemudian dilakukan menggunakan tig aliran 300 kaki enam pancutan sumber air dari jentera, pili Bomba, lori tangki air dan air terbuka (parit),” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan didapati keseluruhan kedai serbaneka musnah 90 peratus manakala klinik pergigian musnah 50 peratus dalam kebakaran itu.
Operasi ditamatkan pukul 12.52 tengah malam sebaik kawasan sekitar dipastikan selamat.




