Kementerian Komunikasi perkasa usaha lindungi pengguna internet

PADANG BESAR – Kementerian Komunikasi komited memperkukuh keselamatan siber negara dengan memberi tumpuan kepada usaha melindungi data peribadi, menjamin privasi pengguna serta memerangi penipuan dalam talian.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menggerakkan Kempen Internet Selamat di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara.

“Langkah ini penting kerana kita mahu mencetuskan arus kesedaran baharu bahawa tanggungjawab mewujudkan Internet yang selamat adalah milik semua pihak.,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Perlis Connect di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pegawai kanan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Penerangan Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan beberapa agensi kerajaan lain.

Menurut beliau, pendidikan dan pendedahan awal kepada pelajar mampu mengubah sikap masyarakat terhadap teknologi digital, sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Katanya, kementerian amat memandang serius peningkatan kes penipuan dalam talian, buli siber serta kecurian data yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

“Ini adalah cabaran baharu dalam dunia digital. Justeru, kesedaran perlu ditanam dari peringkat sekolah lagi agar masyarakat kita menjadi pengguna Internet yang bijak dan beretika,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif lain seperti Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut dilaksanakan bagi memastikan rakyat menikmati manfaat penuh daripada teknologi.

Menurutnya, pengiktirafan global yang diterima NADI di Geneva baru-baru ini menjadi bukti pendekatan Malaysia dalam memperkasa komuniti melalui teknologi digital berada di landasan tepat.

Program Perlis Connect anjuran SKMM dengan kerjasama Bernama itu turut memberi tumpuan kepada kesedaran roaming di kawasan sempadan serta kempen antibuli dalam kalangan pelajar.

Related Posts

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

KERAJAAN Persekutuan akan terus komited memperkasa agenda pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Johor meskipun Barisan Nasional (BN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Perdana Menteri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

BN peroleh majoriti mudah, bentuk Kerajaan Negeri Johor – SPR

BN peroleh majoriti mudah, bentuk Kerajaan Negeri Johor – SPR

PRN Johor: BN raih kemenangan, kuasai 48 kerusi DUN

PRN Johor: BN raih kemenangan, kuasai 48 kerusi DUN

Maszlee berjaya tawan DUN Puteri Wangsa

Maszlee berjaya tawan DUN Puteri Wangsa

PRN Johor: PH terima keputusan rakyat hanya menang lapan kerusi

PRN Johor: PH terima keputusan rakyat hanya menang lapan kerusi

BN lepas majoriti mudah bentuk Kerajaan Negeri Johor

BN lepas majoriti mudah bentuk Kerajaan Negeri Johor