
TAWAU – Semua penjawat awam dan pemimpin masyarakat disaran terus menjadi ejen penyampai maklumat yang sahih dan benar kepada masyarakat sekali gus menjaga nama baik Kerajaan memerintah ketika ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, masyarakat setempat terutamanya penduduk kampung banyak bergantung dengan maklumat dari penjawat awam dan pemimpin masyarakat selaku jentera penggerak kerajaan.
“Apabila kredibiliti kita diiktiraf, maka, kepercayaan masyarakat terhadap kita juga akan meningkat sekali gus akan menjadi pusat maklumat yang sahih dan agen penyebar maklumat yang terbaik.
“Jadi, kekalkan momentum itu dan bantulah kami untuk menyampaikan dasar dan inisiatif kepada masyarakat setempat agar semua rakyat dapat kita santuni,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Sabah peringkat Tawau, di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berkata, setakat ini, KMJG Sabah menelusuri 1,200 kilometer dan Tawau menjadi ‘checkpoint’ ke 27 daripada 75 ‘checkpoint’ yang akan disantuni di negeri ini.
“Kami mengharapkan pada tahun ini akan dapat meningkatkan lagi semangat kebangsaan kita sebab tahun ini juga adalah tahun kedua kita menyambut perayaan yang berganda iaitu Hari Sabah.
“Oleh itu, semangat sayangkan negara bukanlah hanya pada hari Kebangsaan sahaja sebaliknya turut menanankan rasa itu berterusan sepanjang masa,” ujarnya.






