
KUCHING – Pembinaan Pusat Kanser Sarawak akan menjadi antara agenda utama yang diketengahkan Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Sektor Kesihatan pada 11 Ogos ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, langkah itu selaras dengan cadangan pakar Hospital Umum Sarawak (HUS) dan pakar onkologi negeri yang mahu kapasiti rawatan pesakit kanser ditingkatkan daripada 200 kepada 310 katil.
Menurutnya, projek tersebut telah diputuskan untuk dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan memerlukan sokongan penuh pada mesyuarat berkenaan sebelum dibawa ke peringkat penyelarasan serta mesyuarat akhir yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas isu autonomi kesihatan, beliau menegaskan ia perlu melalui proses berperingkat dengan pelan hala tuju jelas serta sumber mencukupi sebelum penyerahan sepenuhnya dapat dilaksanakan.
“Matlamat kita adalah memastikan semua dana persekutuan untuk sektor kesihatan disalurkan terus kepada Sarawak, tetapi ia memerlukan masa dan perancangan teliti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Sim turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas kejayaan menubuhkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Batu Kawah yang sudah beroperasi sejak setahun lalu.
Beliau berkata, NADI berperanan sebagai pusat literasi digital dan pemangkin peluang ekonomi, di mana masyarakat digalakkan memanfaatkan internet berkelajuan tinggi untuk tujuan pendidikan, perniagaan dan capaian maklumat kerajaan.
Selain itu, beliau menyokong kempen penggunaan internet secara berhemah dengan menyerahkan poster “Internet Selamat” kepada sekolah sebagai simbol galakan, agar masyarakat lebih bijak menilai maklumat serta memahami perbezaan antara yang benar dan palsu dalam era digital.






