
SIBU – Seramai 48 peserta dari rumah panjang dan penempatan di Sibu, Kanowit dan Selangau kini memiliki kemahiran baharu dalam bidang kulinari dan kraf tangan selepas mengikuti Village Transformation Programme (VTP) selama lima hari di Hotel Premier Sibu.
Program anjuran kerajaan Sarawak itu membuka peluang kepada peserta untuk meningkatkan pendapatan serta kualiti hidup melalui latihan intensif yang dijalankan.
Timbalan Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Mohamad Ashree Wee berkata, VTP bertujuan memperkasa penduduk luar bandar khususnya komuniti rumah panjang menerusi pendedahan kepada idea, pengetahuan dan kemahiran baharu.
“Dalam jangka masa panjang, program ini dapat membentuk komuniti luar bandar yang berdaya saing dan inklusif selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan VTP Siri 3/2025 bagi Bahagian Sibu pada Jumaat.
Menurut beliau, peserta akan dipantau oleh sekretariat program bersama pejabat residen dan pejabat daerah bagi menilai impak kursus terhadap kehidupan seharian dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Tahun ini, pemantauan akan dijalankan di beberapa rumah panjang dan penempatan di Sibu,” jelasnya.
Ashree berharap semua peserta dapat menjadi ejen perubahan di komuniti masing-masing dengan berkongsi ilmu, meningkatkan pendapatan dan mengangkat kualiti hidup.
Sementara itu, VTP seterusnya akan diadakan di Sri Aman pada Oktober depan dan menjadi penutup bagi pelaksanaan VTP 2022-2025 di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12.





