
PUTATAN – Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding sekurang-kurangnya 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan datang, hasil rundingan UMNO dan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah itu ditentukan berdasarkan logik pembahagian kerusi Parlimen di Sabah, yang terdiri daripada 25 kawasan, dan setiap satu perlu diwakili oleh calon daripada UMNO.
“Saya sudah nyatakan sebelum ini di Kimanis. Saya mahu sekurang-kurangnya satu calon UMNO bertanding di peringkat DUN bagi setiap kawasan Parlimen.
“Jadi, jika ada 25 kawasan Parlimen, kita akan tuntut sekurang-kurangnya 25 kerusi DUN.
“Itulah asas kepada rundingan yang sedang berjalan.
“Maka, boleh saya katakan bahawa UMNO dan BN mencadangkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 25 kerusi,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Putatan, di sini, pada Sabtu.
Mohamad turut menegaskan bahawa prinsip ‘satu DUN bagi satu Parlimen’ adalah pendirian tegas BN dan tidak boleh dirunding.
“Rundingan bersama PH masih berlangsung, tetapi saya telah beri mandat kepada jawatankuasa perunding untuk memastikan setiap Parlimen diwakili oleh sekurang-kurangnya satu calon BN.
“Prinsip itu tidak boleh dikompromi,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pemilihan calon akan diserahkan kepada kepimpinan UMNO di peringkat bahagian dan negeri.
“Kita tidak boleh anggap hanya orang muda layak menjadi calon.
“Kalau boleh, biarlah ada gabungan calon yang seimbang iaitu berpengalaman, bertenaga, dan memiliki kepakaran tertentu.
“Gabungan seperti itu penting untuk membentuk pasukan mantap bagi menubuhkan kerajaan yang stabil dan berwibawa,” katanya lagi.




