JEPUN dan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud menggegarkan Semenanjung Kamchatka, Rusia pada Rabu.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa itu berlaku pada kedalaman cetek iaitu sekitar 19.3 kilometer.
Magnitud kejadian itu turut disemak semula daripada 8.0 kepada 8.8, diikuti satu gempa susulan berukuran 6.9 magnitud tidak lama selepas itu.
Pada masa sama, pihak berkuasa di Kamchatka juga turut memaklumkan gelombang tsunami setinggi tiga hingga empat meter telah dikesan melanda beberapa kawasan pantai di rantau tersebut.
Sementara itu, agensi meteorologi Jepun mengesahkan gelombang tsunami setinggi kira-kira 30 sentimeter telah tiba di bandar Nemuro, Hokkaido, di bahagian timur negara itu.
Susulan itu, amaran dan pemantauan tsunami telah dikeluarkan di seluruh rantau Pasifik termasuk Rusia, Jepun, Pantai Barat Amerika Syarikat dan Alaska, Hawaii, Filipina serta Indonesia.

Gempa bumi ini dilaporkan sebagai yang terkuat melanda kawasan tersebut sejak tahun 1952 apabila gegaran sekuat 9.0 magnitud menyebabkan kerosakan besar di Kamchatka dan menghasilkan gelombang tsunami setinggi 9.1 meter di Hawaii. Namun, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian ketika itu.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam satu kenyataan ringkas turut menasihatkan penduduk Hawaii agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Utamakan keselamatan diri dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Kerajaan Jepun juga turut mengarahkan pemindahan segera penduduk di kawasan pesisir Pasifik ke lokasi lebih tinggi atau bangunan selamat.
Perdana Menteri Shigeru Ishiba berkata pihak berkuasa sedang menilai situasi dan memberi jaminan bahawa sebarang usaha bantuan akan mengutamakan keselamatan nyawa.
“Gelombang tsunami dijangka berulang. Jangan tinggalkan kawasan tinggi sehingga amaran ditarik balik,” katanya.
Pihak berkuasa di seluruh kawasan yang terlibat kini sedang memantau perkembangan dan menggesa orang ramai untuk berpindah dari kawasan berisiko serta menjauhi pantai sehingga amaran ditarik balik




