KUANTAN – Pembinaan pusat pembangunan bersepadu Jerantut Square bernilai RM130 juta di Jerantut, bakal menjadi pemangkin baharu ekonomi tempatan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek yang dijangka siap pada suku keempat tahun hadapan itu juga dapat dijadikan pusat interaksi komuniti dan keusahawanan.
“Bagi (projek) Jerantut Square, saya lihat (mengikut) ‘track record’… mereka mampu menyiapkan projek ini mengikut masa ditetapkan.
“Saya harap Jerantut Square ini dapat disiapkan pada tahun hadapan mengikut masa dan jadual.
“Dan ini (akan) memberi manfaat kepada penduduk di daerah Jerantut… pelaburannya RM130 juta dan manfaatnya banyak, ada pejabat, kedai, dan syarikat perniagaan seperti Coffee Bean & Tea Leaf dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Pahang Rest House @ Jerantut dan Pelancaran Jerantut Square di Rest House Jerantut, dekat Jerantut, hari ini.
Wan Rosdy memaklumkan, projek itu turut menyediakan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV), panel solar pada bangunan, serta ciri-ciri mesra alam sejajar dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Ia juga bakal membuka 1,000 peluang pekerjaan secara langsung dan 5,000 pekerjaan secara tidak langsung dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan peruncitan,” katanya.






