
KERAJAAN Selangor akan melancarkan program Ambulans Kita Selangor tidak lama lagi sebagai langkah memperkasakan sistem sokongan kesihatan di negeri itu.
Inisiatif baharu itu, menurut Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, akan menyediakan perkhidmatan ambulans bukan kecemasan secara percuma kepada golongan memerlukan secara percuma di Selangor.
Jelasnya, ia termasuk bagi keperluan temu janji rawatan, rawatan susulan serta sesi rawatan berkala di hospital dan pusat rawatan bertauliah.
“Melalui Program Ambulans Kita Selangor, Kerajaan Negeri berhasrat menawarkan perkhidmatan ambulans yang lebih efisien, sistematik dan mudah diakses. St. John Ambulans Malaysia – Negeri Selangor akan bertindak sebagai rakan strategik penting dalam pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Amal St John Ambulans Malaysia, di Shah Alam, malam tadi.
Jamaliah turut menegaskan bahawa peranan St JohnAmbulans Malaysia sebagai rakan pelaksana dalam program itu akan memberi impak besar, bukan sahaja dalam memperluas capaian perkhidmatan, malah memperkasa lagi sistem kesihatan negeri secara menyeluruh.
“Ini juga membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh sektor perkhidmatan kesihatan awam, dengan kerjasama rakan strategik yang berpengalaman dan dipercayai,” katanya.



