
TAWAU – Syor pelaksanaan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk dibuat berhampiran tapak binaan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Kabota bagi mengelak risiko kerosakan bahan binaan sekali gus mampu menjimatkan kos.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, inisiatif itu juga memastikan kelancaran projek dan siap mengikut masa diperuntukkan.
“Daripada terpaksa diambil daripada kilang SEDCO di Kota Kinabalu yang mengambil tempoh 12 jam perjalanan menggunakan treler, lebih ekonomi apabila terdapat tapak sementara agar acuan membuat bahan IBS itu dibuat di saru kawasan berhampiran projek.
“Saya kira ia adalah penyelesaian yang baik untuk projek-projek kerajaan bagi pembuatan IBS dibuat di sebelah tapak pembinaan kerana bukan sahaja menjimatkan kos, ia menjimatkan masa dan memastikan bahan-bahan pembinaan itu dapat dibuat dan selamat sampai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan kerja ke tapak projek Pembinaan RKAT Tambahan Pelbagai Kelas di Kem Kabota, di sini, pada Khamis.

Menurut Ahmad, perjalanan jauh boleh mendatangkan risiko kerosakan struktur IBS di jalan berliku-liku dan membahayakan pengguna jalan raya lain.
Dalam pada itu, Ahmad menekankan bahawa projek ini amat mendesak dan menjadi keperluan kepada 1,500 keluarga tentera sekali gus boleh meringankan beban sewaan yang tinggi di luar kem.
“Kita mengharapkan agar ia disiap mengikut jadual kerana pada saat ini, sewaan berkelompok dibuat oleh Kem Kabota dan Kementerian Pertahanan di beberapa lokasi taman perumahan sekitar Tawau.
“Sudah tentu ia merugikan jika RKAT ini lambat siap,” tegasnya.
Justeru, Ahmad memberi peringatan kepada kontraktor terlibat agar memenuhi syarat dan jadual ditetapkan kerana sekiranya gagal, denda kelewatan atau ‘Liquidated Ascertained Damages’ (LAD) sebanyak RM16,391 sehari akan dikenakan.
“Kontrak juga boleh ditamatkan dan lesen syarikat berkenaan akan digantung,” ujarnya.

Untuk rekod, projek RKAT bernilai RM97 juta telah dimulakan sejak 2 Mei 2023 dan dijangka siap sepenuhnya, Oktober tahun depan.
Projek ini dilaksana secara konvensional perunding oleh kontraktor Erawan Power Sdn Bhd dengan JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana dan pasukan Projek khas 2.
Antara kemudahan yang disediakan antaranya 9 blok Pangsapuri Kelas G, Pangsapuri Kelas C1, E dan F, Rumah Banglo dan rumah berkembar (Semi-D), tadika, taska, gelanggang serba guna, taman permainan dan menara tangki air.




