WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada Rusia untuk menamatkan perang Ukraine dalam tempoh 50 hari atau berdepan sekatan ekonomi baharu yang besar.
Beliau turut membentangkan rancangan menyalurkan bekalan senjata baharu kepada Kyiv melalui NATO.
Trump berkata, beliau sangat tidak gembira dengan Presiden Vladimir Putin, sambil menegaskan kesabarannya hilang terhadap keengganan pemimpin Rusia itu untuk menamatkan pencerobohan Ukraine yang sudah berlangsung selama tiga tahun.
“Kami akan mengenakan tarif yang sangat teruk jika kami tidak mencapai persetujuan dalam tempoh 50 hari, tarif sekitar 100 peratus,” tegas Trump semasa mesyuarat bersama Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte.
Ahli Republikan itu menambah, tarif tersebut akan menjadi tarif sekunder yang menyasarkan baki rakan dagang Rusia bertujuan untuk melumpuhkan keupayaan Moscow bertahan daripada sekatan Barat yang sedia ada.
Trump dan Rutte juga mendedahkan perjanjian di mana perikatan ketenteraan NATO akan membeli berbilion dolar senjata dari AS, termasuk bateri antipeluru berpandu Patriot dan menghantarnya ke Ukraine.
Rutte berkata, Trump mendakwa AS membayar lebih berbanding sekutu Eropah dan NATO untuk membantu Ukraine.
Jerman, Kanada, Denmark, Finland, Belanda, Norway, Sweden dan Britain adalah antara pembeli yang membantu Ukraine, tambah ketua NATO itu.
“Jika saya adalah Vladimir Putin hari ini, saya akan mempertimbangkannya semula dan saya harus memandang rundingan mengenai Ukraine dengan lebih serius,” kata Rutte.







