
Menurut beliau, pelbagai pencapaian besar direkodkan sepanjang hampir lima tahun GRS mentadbir negeri, termasuk pemulihan ekonomi, peningkatan pelaburan serta peningkatan hasil negeri yang signifikan.
“Ketika kita mengambil alih pentadbiran negeri pada September 2020, Sabah berdepan situasi ekonomi paling buruk dalam sejarah.
“Namun, dengan pelaksanaan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0), kita bukan sahaja berjaya memulihkannya, malah melonjakkan prestasi ekonomi ke tahap yang membanggakan,” katanya ketika menyempurnakan penutupan Konvensyen PBS-STAR 2025 di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, pada Sabtu.
Hajiji berkata, antara pencapaian utama termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah yang meningkat kepada RM84.3 bilion pada tahun 2024 berbanding RM83.2 bilion pada 2023, serta kutipan hasil negeri hampir mencecah RM7 bilion bagi tiga tahun berturut-turut berbanding hanya RM3.59 bilion pada 2020.
“Pelaburan domestik dan asing yang berjaya dibawa masuk sejak 2021 juga berjumlah RM35.38 bilion.
“Ini semua adalah indikator ekonomi sihat dan bukti keupayaan serta kecemerlangan pentadbiran GRS.
“Tiada siapa yang boleh menafikannya, kecuali pembangkang yang sengaja menutup mata,” katanya.
Beliau turut menegaskan, GRS bukan hanya menumpukan pembangunan ekonomi semata-mata, malah komited terhadap agenda membasmi kemiskinan tegar, menambah baik infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
“Jika GRS terus diberi mandat, kita akan pastikan semua pelan pembangunan dapat dilaksanakan sepenuhnya dari bandar hingga ke pedalaman,” katanya.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata dasar SMJ merupakan pelan strategik jangka panjang yang menyeluruh meliputi pembangunan sumber manusia, pengurusan hasil bumi dan tadbir urus yang cekap.
Dengan kestabilan politik serta iltizam bersama, beliau yakin Sabah akan terus maju ke hadapan sebagai negeri sejahtera yang berdaya saing.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan semua kepimpinan dan ahli GRS agar mempertahankan gabungan tersebut daripada serangan politik yang bersifat destruktif, termasuk fitnah dan dakyah palsu.
“Mereka tidak akan berhenti. Mereka cemburu dengan kejayaan kita dan mahu melihat kita gagal. Sebab itu saya ingatkan, rumah kita, kita yang jaga. GRS ini rumah kita,” ujarnya.
Mengulas mengenai konvensyen berkenaan, beliau menyifatkannya sebagai detik penting dalam memperkukuh muafakat politik tempatan menjelang PRN17, sambil memuji kerjasama erat antara PBS dan STAR yang menurutnya mencerminkan kematangan politik demi kepentingan rakyat Sabah.



