KUANTAN – Empat individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 8 tahun cedera selepas sebuah kereta merempuh tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat Bukit Setongkol, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, kereta Perodua Myvi dipandu oleh seorang lelaki berusia 29 tahun dari arah Tanjung Lumpur.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kereta itu meneruskan perjalanan walaupun lampu isyarat sudah merah sebelum melanggar tiga motosikal yang keluar dari simpang.
“Kereta itu melanggar tiga penunggang dan seorang pembonceng berusia antara 8 hingga 32 tahun, masing-masing dua lelaki dan dua wanita.
“Kemalangan itu mengakibatkan empat mangsa mengalami pelbagai tahap kecederaan, manakala pemandu kereta terselamat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat hanya mengalami luka ringan.
“Semua mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan seorang daripada mereka masih dirawat di Zon Kuning, manakala yang lain dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” katanya.
Mohd Adli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan.





