
SANDAKAN – Sekolah Menengah (SM) Sung Siew meraikan ulang tahun ke 118 dengan penuh semangat perpaduan menerusi Fund Raising Onward Sung Siew Run (OSSR) sekali gus turut menyaksikan inisiatif relokasi sekolah ke tapak baharu, di Batu 4 Jalan Cecily Utara.
Acara itu disempurnakan Timabalan Ketua Menteri II yang juga alumni sekolah berkenaan, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.
Joachim menyifatkan acara itu sebagai detik bersejarah bukan hanya untuk institusi berkenaan tetapi juga untuk seluruh komuniti Sandakan memandangkan tempoh 118 tahun emncerminkan perjalanan yang penuh cabaran dan dedikasi.

“SM Sung Siew telah melahirkan ribuan pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang sama ada pendidikan, keusahawanan, perkhidmatan awam termasuk di peringkat antarabangsa.
“Di sinilah saya pernah menuntut ilmu pada suatu ketika dahulu dan terima kasih kepada semua yang pernah mendidik saya pada masa itu,” katanya selepas merasmikan penutupan 118th Anniversary and Fund Raising OSSR SM Sung Siew Sandakan, di sini, pada Sabtu.
Menurut Joachim, program larian amal ini mencerminkan komitmen bersama masyarakat untuk memperkasakan masa depan pendidikan anak-anak Sandakan menerusi penyediaan kemudahan sekolah yang lebih moden dan kondusif.
“Projek relokasi ini adalah satu langkah berani dan berpandangan jauh.
“Saya yakin dengan fasiliti yang lebih baik dan ruang pembelajaran yang luas, sekolah ini akan terus menjadi institusi unggul dan kebanggaan masyarakat,” katanya.
Acara OSSR ini berjaya menghimpunkan pelajar, ibu bapa, guru, alumni serta masyarakat setempat yang mengambil bahagian dalam beberapa kategori larian antaranya 1 kilometer (km), 3km dan sesi berjalan santai sebagai tanda sokongan terhadap usaha mengumpul dana.



