PUTRAJAYA – FELDA mengumumkan kontrak Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai pengerusinya tamat berkuasa hari ini, selepas melengkapkan perkhidmatan selama dua tahun.
Dalam kenyataan dikeluarkan FELDA, pihaknya merakam penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa dan bakti sepanjang dua tahun perkhidmatan Ahmad Shabery memegang amanah jawatan itu.
Tambahnya, bekas Ahli Parlimen Kemaman itu memainkan peranan besar dalam mengukuhkan semula ekosistem antara Felda dan anak syarikat, terutama dalam mempercepatkan penyahsenaraian FGV Holdings.
“Ia sekali gus mengembalikan keyakinan rakan strategik serta meningkatkan imej dan prestij FELDA,” kata kenyataan itu.
Bulan lalu, FGV menerima tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat daripada FELDA yang bertujuan mendapatkan semua baki saham dalam syarikat itu yang belum dimilikinya.
FELDA membuat tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat untuk membeli semua baki saham FGV pada harga RM1.30 sesaham, sebagai langkah mengukuhkan pegangan dalam syarikat terbabit.
Ahmad Shabery dilantik sebagai Pengerusi FELDA pada Julai 2023, menggantikan bekas Menteri Nesar Terengganu, Tan Sri Idris Jusoh.




