KUANTAN – Mesyuarat UMNO Bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara ketika ini bukan sekadar menjadi medan untuk membina semula kekuatan parti.
Lebih daripada itu, mesyuarat kali ini juga bakal menentu ketetapan ahli akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud memaklumkan, sebarang usul dikemukakan setiap UMNO Bahagian perlu diteliti dan dipertimbangkan dengan cermat oleh pimpinan parti.
“Usaha untuk memperkasakan semula UMNO adalah tugas yang berpanjangan, bukan bermusim.
“Kita pernah mengalami zaman yang suram selepas PRU13 dan PRU14… namun, UMNO kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas PRU15.
“Ini menunjukkan kekuatan UMNO masih ada dan masih mendapat kepercayaan daripada rakyat,” katanya.
Beliau yang sudah berjuang dalam UMNO sejak berusia awal 20-an, melihat senario politik ketika ini amat dinamik dan sukar dijangka.
Katanya, kemampuan pimpinan di peringkat Bahagian dan Pusat membuat keputusan bijak semasa negara dalam keadaan tidak menentu, adalah satu perkara yang wajar diambil perhatian.
“Kita yakin UMNO akan kembali kukuh dan menjadi ‘tempat mengadu’ orang Melayu.
“Kesucian agama Islam dan institusi raja juga kekal dipertahankan walaupun kita (UMNO) bekerjasama dengan mana-mana parti lain.
“Jadi, situasi ini jelas menunjukkan bahawa UMNO tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangan utama parti sejak hari pertama UMNO ditubuhkan,” jelasnya.
Razak berharap perwakilan UMNO Bahagian Jerantut yang bersidang esok, akan memilih pemimpin yang selayaknya bagi mewakili mereka ke Persidangan Agung UMNO tahun ini.
Katanya, proses pemilihan perwakilan G7 oleh ahli UMNO perlu dibuat dengan rasional dan menunjukkan keyakinan terhadap wakil mereka yang akan membawa suara UMNO Bahagian.





