IPOH – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai warga Pakistan merasmikan program sukan di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Kerian.
Menterinya, Fadhlina Sidek, memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu dan tindakan susulan sedang diambil.
“Saya sudah maklum mengenai kes ini dan ia masih dalam siasatan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah Negeri Perak Darul Ridzuan 1447H, yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, malam Khamis.
Terdahulu, video berdurasi tiga minit tular di media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai bukan penaja mahupun ibu bapa murid sekolah berkenaan merasmikan satu acara sukan di Semanggol, Bagan Serai.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Nazrin atas penganugerahan Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq kepada ibunya, Allahyarham Datin Dr Siti Zalikhah Md Nor.
“Beliau merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pejuang undang-undang syariah dan tokoh yang mengangkat pemberdayaan wanita dalam pelbagai aspek,” katanya.





