
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyediakan ganjaran RM2 bagi tangkapan setiap tikus sempena kempen membasmi tikus di sekitar bandar raya bermula 25 Jun hingga 31 Julai depan.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, kempen tersebut bertujuan meningkatkan tahap kebersihan kawasan bandar raya.
“Antara inisiatif yang kita buat untuk kali ini, tikus-tikus yang ditangkap itu jika diserahkan kepada DBKK oleh orang awam ataupun para penjaja yang turut serta kita akan bayar RM2 seekor sepanjang tempoh kempen.
“Aktiviti atau program yang dibuat untuk memberikan kesedaran kepada para penjaja dan kita akan pastikan tahap kebersihan di tempat-tempat tersebut berada pada tahap yang tinggi.
“Kita akan pastikan tong sampah disediakan dengan cukup, pengambilan sampah itu dibuat mengikut jadual supaya tidak berlaku limpahan sampah yang boleh menyebabkan bukan sahaja tikus tetapi lalat dan sebagainya datang ke kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, selepas pelancaran Kempen Membasmi Tikus di Pihak Berkuasa Tempatan, di Pasar Besar Kota Kinabalu pada Rabu.
Jelasnya, selain aspek kebersihan pembasmian tikus juga penting bagi memastikan kesihatan awam dan imej bandar raya terjaga.
“Jadi kempen pada hari ini juga penting bagi memastikan tikus-tikus yang menyebabkan penyakit seperti Leptospirosis itu dapat kita kekang.
“Jika pembiakan tikus tidak dikawal ia juga boleh menjatuhkan imej tempat itu sendiri seperti di pasar besar dan imej bandar raya kita,” ujarnya.
Beliau berkata, selain daripada Pasar Bekas Kota Kinabalu lokasi seperti pasar-pasar buah, tempat penjualan kraf tangan yang di bawah jagaan DBKK turut diberi tumpuan dalam pembasmian haiwan itu.
Tambahnya, usaha ini sangat penting memandangkan jumlah tangkapan tikus di Pasar Besar Kota Kinabalu pada tahun ini setakat Januari hingga Jun meningkat dengan jumlah 187 ekor, berbanding hanya 111 ekor tikus ditangkap pada tahun 2024 dalam tempoh sama.







