KEBIMBANGAN serius terhadap perkembangan terbaharu di Timur Tengah susulan tindakan berskala besar yang dilancarkan oleh Israel dan Amerika Syarikat terhadap Republik Iran kini mendapat perhatian dunia.
Tindakan itu bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa dan kehancuran infrastruktur awam di Iran, malah membuka ruang kepada konflik serantau yang boleh menjejaskan kestabilan global termasuk Asia Tenggara.
Sehubungan itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan supaya Parlimen Malaysia mengadakan satu sidang khas tergempar membincangkan konflik berkenaan bagi menunjukkan pendirian rasmi Malaysia serta tindakan diplomatik yang sewajarnya.
“Susulan dari peperangan itu sidang khas mampu membincang kesan geopolitik dan ekonomi kepada negara termasuk rantaian bekalan, harga minyak dan keselamatan serantau.
“Di samping itu juga apakah tindakan kemanusiaan yang boleh diambil oleh rakyat Malaysia untuk membantu rakyat Iran yang menjadi konflik hari ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jelasnya lagi, sebagai institusi demokrasi tertinggi negara, Parlimen tidak boleh berdiam diri dalam isu yang melibatkan keadilan sejagat, kedaulatan negara lain dan kemanusiaan.
Mahfuz berkata, apa yang penting suara rakyat Malaysia mesti dizahirkan melalui saluran sah dan terhormat iaitu Dewan Rakyat.
“Sebagai negara berkecuali dan bermaruah, Malaysia harus menegaskan pendiriannya sebagai negara yang konsisten menolak segala bentuk penjajahan, pencerobohan dan pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Kita juga bertanggungjawab untuk meneruskan peranan aktif dalam menggerakkan keamanan global melalui peranan dalam Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakkan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan ASEAN. Saya percaya rakyat Malaysia menolak segala bentuk keganasan dan meyokong penyelesaian damai.
“Maka adalah menjadi tanggungjawab moral dan politik kita untuk memastikan suara negara ini di suarakan dengan jelas dan bermaruah di peringkat antarabangsa,” katanya.
Justeru, beliau menyeru Perdana Menteri segera mempertimbangkan keperluan sidang khas Parlimen ini demi kedaulatan nilai keadilan dan dan kemanusiaan sejagat.





