
ITALI semalam menggesa gencatan senjata segera di Gaza dan menyeru agar pengeboman di wilayah itu dihentikan serta-merta bagi mengurangkan penderitaan penduduk awam.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, dalam kenyataan sebelum Mesyuarat Menteri Luar Weimar Plus di Rom, menegaskan komitmen negaranya terhadap objektif strategik Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan di Asia Barat.
“Mesej kami jelas – hentikan perang. Bersama Mesir dan Qatar, kami berusaha sedaya upaya membantu penduduk awam. Matlamat kami ialah gencatan senjata. Hentikan pengeboman dan bebaskan tebusan dengan segera,” katanya, lapor Anadolu.
Tajani turut menyatakan keterbukaan Itali dalam rundingan berkaitan sasaran perbelanjaan pertahanan NATO sebanyak 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sambil menegaskan bahawa negara itu komited untuk menyumbang lebih banyak namun memerlukan masa tambahan.
“Penting untuk mencapai persetujuan. Fleksibiliti dan masa juga adalah faktor utama. Namun, saya percaya kita boleh capai persetujuan demi memperkukuh NATO dan Eropah,” katanya.
Dalam sidang media sama, Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, pula menekankan kepentingan sokongan berterusan kepada Ukraine yang masih bergelut dalam peperangan dengan Rusia.
“Kita berdepan banyak cabaran hari ini,” katanya sambil menyuarakan keperluan membantu Ukraine kekal berdaya tahan dan bergerak ke arah keamanan yang berkekalan, di samping memastikan keupayaan pertahanan NATO kekal mantap bukan sahaja pada masa kini, tetapi juga dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Mesyuarat Weimar Plus menghimpunkan menteri luar utama Eropah bagi menyelaras usaha pertahanan dan keselamatan serantau. Agenda utama termasuk memperkukuh sokongan kepada Ukraine, persiapan menjelang sidang kemuncak NATO dan G7 akan datang, serta meningkatkan kesiapsiagaan dan kapasiti industri pertahanan NATO.







