Bas dipandu bahaya, tak sangka ‘ramalan’ kemalangan jadi kenyataan – Saksi

SEORANG pengguna jalan raya mendedahkan bahawa bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, pagi tadi dipandu secara melulu dan berbahaya.

Menerusi hantaran di Facebook, pengguna itu yang dikenali sebagai Muhammad Aiman memaklumkan bas tersebut memotong kenderaan lain sehingga memberi ancaman kepada pemandu lain.

Malah, apa yang membimbangkan, bas yang membawa pelajar UPSI itu dilihat secara jelas melanggar undang-undang dengan memotong garisan berkembar untuk segera sampai ke destinasi.

“Bas inilah yang memotong saya pada pukul (jam) 12 tengah malam tadi, laju juga dia bawa, tak tahu dia terburu-buru nak pergi ke mana.

“Dia potong semua kereta yang ada. Jalan (garisan) berkembar pun habis dia potong,” katanya menerusi hantaran di ruangan komen Facebook, pada Isnin.

Malah, dia tidak menyangka ramalan bahawa bas tersebut akan terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan banyak kehilangan nyawa telah berlaku.

“Dah cakap dah (andaian) mesti kemalangan (kerana bas dibawa secara berbahaya), tengok-tengok tak sangka viral bas kemalangan betul.

“Allahuakbar, tak boleh nak cakap apa, kadang-kadang disebabkan pemandu habis nyawa orang terbang,” katanya.

Seramai 13 pelajar itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi mangsa maut di Hospital Gerik.

Difahamkan bas UPSI itu dalam perjalanan ke kampus universiti itu dari Jerteh, Terengganu.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam kenyataannya berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Banun menerima panggilan berhubung kejadian yang melibatkan 48 orang mangsa itu pada pukul 1.10 pagi.

Katanya, anggota APM yang tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.11 pagi mendapati kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dengan sebuah bas yang telah terbalik.

“Anggota APM telah membawa beberapa mangsa yang cedera ke Hospital Gerik, antaranya mereka yang mengalami kecederaan patah tangan, patah kaki dan cedera ringan,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad pula berkata, ada mangsa kemalangan bas membawa pelajar UPSI yang berjaya keluar sendiri menyelamatkan diri, malah ada yang tercampak selepas kenderaan itu terbabit kemalangan dengan Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.

Katanya, sebaik tiba, bomba mendapati ada mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.

Menurutnya, pegawai dari anggota bomba dan penyelamat (BBP) Gerik dan Jeli dikejarkan ke lokasi kejadian, iaitu membabitkan 17 orang, Polis Diraja Malaysia (10), pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (21) dan Angkatan Perkhidmatan Awam (empat).

Nor Hisham memaklumkan ketua operasi melakukan ‘size up’ dan mengaplikasikan konsep ‘saver’ dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas.

Related Posts

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

KOTA KINABALU – Ketika kanak-kanak lain seusianya bebas bermain tanpa memikirkan apa-apa, satu kejadian ketika berusia empat tahun mengubah kehidupan Nurhadrieyana Paiman.‎‎Insiden tercucuk pensil menyebabkan penglihatan mata kirinya terjejas, sekali…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bukan caj tambahan baharu atau sumber keuntungan syarikat, sebaliknya mekanisme dua hala bagi melaraskan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Jika benar-benar kuat, UMNO perlu bertanding solo di Melaka – Tajuddin

Jika benar-benar kuat, UMNO perlu bertanding solo di Melaka – Tajuddin

Malaysia-Maldives perluas kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam – PM

Malaysia-Maldives perluas kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam – PM

Malaysia beri lampu hijau prinsip kemudahan AS$100 juta untuk Maldives – PM

Malaysia beri lampu hijau prinsip kemudahan AS$100 juta untuk Maldives – PM