
KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat daripada Pengarah baharu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah, Datin Dayang Halimah Awang Ahmad di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.
Dayang Halimah yang berasal dari Tawau menyandang jawatan itu sejak 1 Mac 2025 menggantikan jawatan terdahulunya sebagai Pengarah Operasi Negeri (Audit Cukai Syarikat) LHDN Sabah.
Hajiji mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan menyatakan keyakinan bahawa hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan LHDN dapat memastikan pengurusan hasil yang lebih cekap dan menyeluruh.
“Kerajaan sentiasa menyokong usaha mempertingkatkan kutipan hasil secara adil dan berkesan, selaras dengan keperluan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Sementar itu, Dayang berkata kunjungan itu bertujuan memperkenalkan diri, selain membincangkan kerjasama strategik antara LHDN dan kerajaan negeri dalam aspek pematuhan percukaian serta pengurusan hasil.
Dalam pertemuan itu, beliau turut berkongsi hala tuju serta perancangan LHDN Sabah, termasuk inisiatif memperluas capaian perkhidmatan dan meningkatkan kesedaran cukai dalam kalangan masyarakat.
Pada hari sama, Hajiji turut menerima kunjungan hormat daripada Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat, Mejer Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad.
Mengiringi beliau ialah Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin dan Pengarah Rancang dan Pembangunan Tentera Darat, Kolonel Burhan Sagoni.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.







