BEKAS Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Luar, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu.
Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam istiadat pengurniaan watikah di Istana Negara hari ini.
Muhammad Shahrul Ikram – yang berasal dari Pahang – dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Ekologi Universiti Malaya, pernah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School, AS.
Beliau menggantikan Datuk Seri Nazri Aziz.
Muhammad Shahrul Ikram memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Luar pada 1988 dan pernah memegang jawatan KSU Kementerian Luar dari 6 Januari 2019 hingga 31 Mei 2022.
Beliau pernah ditauliahkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Qatar, Duta Besar Malaysia ke Austria dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sepanjang berkhidmat di Kementerian Luar, Muhammad Shahrul Ikram pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Ketua Pengarah Sekretariat ASEAN-Malaysia dan Setiausaha Bahagian Politik Pelbagai Hala.





