KUANTAN – Sejak April lalu, Klinik Anda cawangan Indera Mahkota 7, dekat sini, menyediakan sarapan percuma setiap Jumaat kepada orang ramai yang kebetulan melalui klinik mereka.
Menurut Dr Muhammad Taqiyuddin Ali, pengagihan sarapan percuma itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) rangkaian klinik berkenaan.
“Bermula jam 10 pagi, setiap Jumaat, memang kita akan sediakan pek sarapan percuma untuk diagihkan kepada mereka yang bekerja atau mempunyai urusan di kawasan sekitar klinik kami di bandar Indera Mahkota 7 ini.
“Kita siapkan sarapan dalam pek supaya mudah untuk mereka ambil dan bawa makanan itu ke tempat kerja mereka.
“Semua kos untuk penyediaan sarapan ini adalah menerusi peruntukan CSR kami dan juga infaq daripada kenalan,” katanya.
![]()
Dr Muhammad Taqiyuddin memaklumkan, selain sarapan percuma setiap Jumaat, pihak Klinik Anda juga melakukan pelbagai program CSR lain, dengan kerjasama penduduk setempat.
“Kita harap sumbangan ini dapat mendekatkan lagi Klinik Anda dengan penduduk sekitar Indera Mahkota.
“Kami juga mengalu-alukan orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan perkhidmatan disediakan di sini, boleh berkunjung ke klinik kami bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan kesihatan,” ujarnya.
Klinik Anda di Indera Mahkota 7 adalah cawangan ke-101 dan beroperasi 24 jam.






