
LAHAD DATU – Cubaan sebuah bot kayu meloloskan diri daripada pihak berkuasa gagal apabila berjaya dipintas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Lahad Datu dalam rondaan malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot tersebut ditahan sekitar pukul 10.30 malam pada kedudukan tiga batu nautika selatan Tanjung Batu semasa rondaan Operasi Pluto Timur 2/2013 dan Operasi Tiris 3.0.
“Bot kayu berwarna biru putih itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota Maritim Malaysia.
“Berlaku aksi mengejar hampir 10 minit sebelum bot berjaya dipintas,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki warga Filipina masing-masing berusia 41 dan 34 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri, bersama seorang lagi lelaki pemastautin sementara berusia 41 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 17 gelen cecair disyaki minyak petrol dan 51 peket minyak masak seberat satu kilogram dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM80,000,” katanya.
Kesemua kru bersama bot dan barangan rampasan dibawa ke Jeti Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit sah, Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan pasport yang sah dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu menerusi WhatsApp di talian 016-9305727 atau menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.




