
LAHAD DATU – Projek Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) terbesar di Asia Tenggara bakal meningkatkan kecekapan bekalan elektrik khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.
Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, BESS mempunyai kapasiti sebanyak 100 megawatt (MW) dan keupayaan penyimpanan tenaga sehingga 400 megawatt-jam (MWh).
“Sistem BESS ini bukan sahaja mampu meningkatkan kestabilan grid elektrik Sabah, malah turut menyokong agenda kelestarian alam sekitar dengan membuka lebih banyak ruang kepada penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
“Projek ini juga dijangka menjadi pemangkin penting kepada pembangunan tenaga lestari di Sabah selain menjadikan negeri ini sebagai peneraju teknologi penyimpanan tenaga di rantau Asia Tenggara,” katanya kepada media dalam lawatan kerjanya di POIC Lahad Datu, pada Khamis.
Menurut Madius, setakat ini, lebih 403 kontena berisi komponen BESS telah tiba secara berperingkat di terminal kontena POIC Lahad Datu dan sedang dipunggah untuk dihantar ke tapak utama di Jalan Longkaw.
“Saya datang sendiri melihat projek ini di lapangan dan ia dijalankan mengikut jadual dan dijangka siap serta beroperasi menjelang pertengahan tahun ini,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Pengerusi POIC, Datuk Seri Yong Teck Lee.





