
SIDANG media calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek yang mengumumkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning hari ini dilihat agak ‘terencat’.
Ini kerana pihak urusetia menghalang beliau menghuraikan lebih lanjut mengenai isu ladang babi yang turut terkandung dalam manifesto atau dipanggil tekad oleh PN.
Menggunakan slogan Tekad Muhaimin Untuk Rakyat, calon PN berusia 44 tahun itu berkata, beliau akan memperjuangkan isu pencemaran yang menjejaskan kesihatan penduduk, termasuk tindakan tegas terhadap ladang babi haram dan sistem sisa yang tidak cekap.
Namun apabila ditanya wartawan apakah beliau akan mengambil tindakan terhadap pengusaha ladang babi berlesen di kawasan Ayer Kuning, Abd Muhaimin dihalang untuk memberikan penjelasan.
Bagaimanapun pihak urusetia memaklumkan sidang media khas berkaitan ladang babi di Ayer Kuning akan diadakan esok yang akan dijelaskan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Manjoi, Mohd Hafez Sabri.
“Kita akan jawab esok soalan tu, ada sidang media khas untuk babi sahaja,” katanya di pusat gerakan PN di Bidor, hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri oleh beberapa pemimpin Pas antaranya Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Misbahul Munir Masduki.
Isu ladang babi antara bahan kempen PN yang membangkitkan kebimbangan masyarakat yang majoriti Melayu di Ayer Kuning.
Sebelum ini, Idris mendakwa ada 30 ladang babi yang diluluskan serta berlesen di dua daerah berkenaan, dengan jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana terdapat ladang haram.
Semalam, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A Sivanesan berkata, sebahagian besar ladang yang wujud pada hari ini adalah warisan operasi sejak beberapa dekad lepas.
Menurutnya, ladang berkenaan terletak atas tanah milik persendirian serta beroperasi sebelum pewartaan garis panduan atau dasar penternakan moden diperkenalkan.







