KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan pengusaha ikan sangkar – khususnya patin – menjaga kualiti ternakan mereka.
Al-Sultan Abdullah bertitah sedemikian ekoran terdapat dakwaan aktiviti ‘mengklon’ ikan patin luar, termasuk patin kolam yang dibawa masuk ke Temerloh.
“Jangan jual ikan patin ‘celup’ atau klon kerana orang datang ke sini untuk rasa hidangan ikan patin tempatan yang asli.
“Jangan pendekkan rezeki orang lain dan juallah ikan patin dengan jujur,” titah baginda selepas bercemar duli hadir di Karnival Patin dan Sukan Rakyat sempena Kembara Pahang 1.0 di Dataran Temerloh, semalam.
Al-Sultan Abdullah bertitah, idea pensijilan kepada pengusaha ikan patin sangkar di Temerloh bagi mengatasi isu klon spesies tersebut dari luar daerah dialu-alukan untuk memastikan keaslian ikan yang dijual kepada penggemarnya.
Baginda bertitah, selain menyantuni rakyat, objektif utama program menjelajah empat daerah iaitu Maran, Temerloh, Bera dan Pekan itu diadakan adalah untuk melalui jalan yang belum pernah baginda lalui sebelum ini.
“Saya hendak tengok kawasan yang saya tidak pernah sampai, contoh tadi laluan di tepi sungai semua itu, saya juga ingin melihat status keadaan jalan di sana sama ada elok atau tidak,” titah baginda.
Selain Maran dan Temerloh, kembara itu akan meneruskan jelajah ke daerah Bera hari ini sebelum ke Pekan selaku destinasi terakhir, esok.







