
SIBU terus menjadi tumpuan penting dalam pelan pembangunan Sarawak apabila penyertaan lebih ramai pemaju hartanah dijangka mempercepatkan pertumbuhan kawasan tengah menjelang 2030.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta amat diperlukan untuk memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif.
“Kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata. Penglibatan sektor swasta sangat penting dan menjadi kunci kejayaan kepada agenda pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Galeri Jualan baharu Ibraco Berhad di Jalan Tong Sang pada Jumaat.
Menurutnya, Sibu mempunyai potensi besar untuk terus berkembang seiring kawasan lain di Sarawak, dan penglibatan syarikat pemaju seperti Ibraco adalah petanda positif.
“Saya telah berbincang dengan pihak Ibraco sejak dua tahun lalu untuk menjadikan Sibu sebagai lokasi baharu pembangunan. Syukur, hasrat tersebut akhirnya menjadi kenyataan,” ujarnya.
Tambahnya, projek pembangunan berkualiti bukan sahaja dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, malah turut meningkatkan taraf hidup penduduk.
Sementara itu, pihak Ibraco dalam kenyataan memaklumkan bahawa pembukaan Galeri Jualan baharu itu melambangkan komitmen mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk wilayah tengah Sarawak.
“Pengembangan strategik ini turut disokong oleh pasukan jualan berdedikasi yang akan memastikan sokongan berterusan kepada pelanggan dan pelabur,” katanya.
Sempena pembukaan rasmi galeri tersebut, Ibraco menganjurkan Promosi Raya selama tiga hari bermula 18 hingga 20 April, dari jam 9 pagi hingga 5 petang, yang menawarkan pelbagai tawaran menarik kepada pengunjung.





