
KOTA KINABALU – Isu tular melibatkan penarikan pingat naib johan seorang atlet lelaki dalam acara Sukan Merentas Desa peringkat Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Anjuran Semporna, selesai.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua pihak berkepentingan termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa dan keluarga pelajar berkenaan telah bekerjasama menyelesaikan perkara tersebut secara menyeluruh.
“Kita ambil maklum tentang berita tersebut dan saya ingin memaklumkan bahawa isu tersebut telah diselesaikan dengan secara harmoni dan baik di semua peringkat.
“Pihak KPM mengambil tanggungjawab menyelesaikan isu tersebut dan berharap apa saja masalah yang ditimbulkan mestilah diselesaikan secara perbincangan.
“KPM juga sedia untuk melakukan siasatan susulan seandainya terdapat isu atau dakwaan lain berkenaan kontroversi tersebut,” katanya ketika ditemui media di Seminar Kepimpinan MADANI: Cakna Pendidikan Digital di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, pada Khamis.
Jelas Fadhlina, KPM juga bersedia menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat isu atau dakwaan baharu yang dikemukakan.
Sebelum ini, tular di media sosial kenyataan seorang jurulatih mendakwa pingat naib johan atlet lelaki di bawah bimbingannya ditarik disebabkan dakwaan atlet terbabit menaiki kenderaan ketika MSSD semporna berlangsung, baru-baru ini.





