KUANTAN – Tindakan suspek memandu kenderaan pacuan empat roda dipandu melawan arus di Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1), dekat Gambang, membongkar cubaan mengedar dadah jenis syabu bernilai RM14.9 juta, Isnin lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu ditemui ditinggalkan di bahu jalan di Kilometer 211 menghala ke Kuala Lumpur dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 2 petang.
Menurutnya, lokasi penemuan kenderaan tersebut kira-kira 18 kilometer dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di mana satu operasi bersepadu (Ops Utama) Zon Timur diadakan Pasukan Peronda Lebuhraya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
“Susulan maklumat diterima, pemeriksaan awal dilakukan anggota pasukan peronda dan mendapati kenderaan tersebut ditinggalkan tanpa pemandu atau penumpang.
“Pemeriksaan mendapati semua pintu berkunci namun but belakang yang bertutup tidak berkunci.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui 22 plastik hitam mengandungi 440 bungkusan plastik bertulisan ‘Chinese Pin Wei’ berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Yahaya berkata, anggaran berat keseluruhan dadah dirampas 468.3 kilogram, sekali gus rampasan dadah terbesar di negeri ini dalam tempoh tiga tahun.
Beliau berkata, unit forensik polis Pahang turut menjalankan ujian ‘swabbing’ bagi siasatan lanjut, manakala usaha mengesan pemilik kenderaan sedang dijalankan.
“Berdasarkan semakan, kenderaan tersebut telah dijual pemilik asal kepada pihak lain namun tidak menukar nama.
“Polis Pahang menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat, saksi kejadian atau rakaman kamera papan pemuka yang berkaitan agar menyalurkannya kepada pegawai penyiasat di talian 09-5652222 atau menghubungi hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-2087222,” katanya.




