
KABONG – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan golongan wanita di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, usaha gigih dan dedikasi yang ditunjukkan oleh ahli-ahli PPWS telah mewujudkan komuniti dinamik serta berdaya saing.
“PPWS bukan sahaja memperkukuh jaringan wanita setempat, malah menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Warna Warnai Aidilfitri PPWS Zon Kabong pada Selasa.
Menurut beliau, kerajaan Sarawak sentiasa komited menyokong usaha pemerkasaan wanita selaku tunjang utama dalam institusi keluarga dan masyarakat.
Bagi menyokong inisiatif tersebut, Mohd Chee turut mengumumkan kelulusan Geran Projek Khas Kerajaan Sarawak berjumlah RM5,000 kepada setiap cawangan PPWS di kawasan Kabong.
“Ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan wanita terus melangkah ke hadapan dan berdaya tahan dalam pelbagai bidang,” ujarnya.
Majlis yang berlangsung meriah itu turut menjadi platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli PPWS serta menghargai sumbangan wanita di zon berkenaan.
Turut hadir isteri ADUN Kabong, Meryani Yassin; Pengerusi PPWS Zon Kabong, Norain Abdullah; Pengerusi PPWS Daerah Saratok, Razenah Sepawi; wakil Pegawai Daerah Kabong, Nur Fatmazuhra Daim serta ketua-ketua masyarakat dan pengerusi PPWS kawasan.




