Hubungan ASEAN-China melangkaui naratif berkisar rakyat

PERKONGSIAN strategik antara ASEAN dan China dalam sektor media perlulah melangkaui infrastruktur dan perdagangan seperti memperbanyakkan lagi naratif berpaksikan rakyat dalam laporan berita masing-masing.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun kerajaan dan institusi memberi tumpuan kepada diplomasi, media harus memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi awam dan memupuk perpaduan yang lebih mendalam dalam kalangan rakyat.

Fahmi berkata, kepelbagaian di ASEAN dan China yang mempunyai gabungan populasi lebih dua bilion, merupakan kekuatan yang perlu diketengahkan oleh media untuk mempromosikan nilai sejagat.

“Memandangkan kerajaan dan institusi bekerjasama dalam infrastruktur dan perdagangan, media juga mesti mengetengahkan kisah manusia tentang persahabatan silang budaya, pertukaran akademik, kerjasama belia dan daya tahan masyarakat yang memberi kehidupan kepada perkongsian serantau kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Forum Media dan Pemikir ASEAN-China 2025 di sini pada Jumaat.

Forum anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita Xinhua itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj turut hadir.

Turut hadir, Ketua pengarang Agensi Berita Xinhua, Lyu Yansong.

Acara itu menarik lebih 200 peserta, termasuk pemimpin media utama, pegawai kanan kerajaan dan pakar dari seluruh rantau Asean dan China, untuk memperdalam penglibatan dalam landskap media yang sentiasa berkembang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak ini perlu diperkasakan bagi mengemudi persekitaran digital yang kompleks dengan profesionalisme.

Tambah Fahmi, ketika teknologi terus mengubah industri media, pemain utama harus memastikan inovasi boleh diakses dan inklusif terutama bagi komuniti yang terpencil dan kurang mendapat maklumat.

“Saya amat digalakkan untuk melihat kerjasama yang semakin meningkat antara ASEAN dan China dalam pembangunan media digital, termasuk pengeluaran berita bersama, perkongsian kandungan dan sokongan teknikal dalam bidang baharu muncul seperti kewartawanan data dan penyiaran digital rentas sempadan,” katanya.

Fahmi turut memuji Bernama dan Xinhua kerana menjadi hos bersama forum itu, menyifatkan ia satu langkah penting ke hadapan yang mencerminkan matlamat bersama mempromosikan kecemerlangan profesional dan menyumbang kepada kesejahteraan serantau dan global.

Beliau menyatakan bahawa inisiatif sedemikian juga penting untuk menegakkan ketepatan, akauntabiliti dan integriti dalam memerangi naratif palsu.

Justeru, Fahmi menegaskan bahawa Malaysia bersedia untuk menyokong inisiatif yang menggalakkan pembangunan media, memudahkan dialog dan memanfaatkan potensi inovasi digital untuk kebaikan yang lebih besar di rantau ini.

Related Posts

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

SEMPORNA – Rangkaian Rakan Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara kini mencecah 14,068 premis setakat 7 Ogos lalu, berbanding kira-kira 700 premis ketika program itu diperkenalkan pada 2024.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah satu-satunya parti yang melihat tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai agenda nasional. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Rakan Niaga SARA kini cecah 14,068 premis seluruh negara

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Tengku Hassanal terima Sayap Penerbangan TUDM

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Komuniti perbatasan Limbang diseru jadi mata dan telinga kerajaan

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

Tiada parti lain, hanya PKR jadikan MA63 agenda nasional 

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PH bersama Bersatu PRN Melaka: Saya tidak tahu, kata Fahmi

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP

PKR tumpu pengukuhan parti, tidak terheret isu DAP