
BEKENU – Projek menaik taraf jalan Kampung Rambai ke Kampung Bulau memudahkan penduduk melalui jalan lebih selamat dan efisien.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, projek ini juga bertujuan meningkatkan kesalinghubungan dan aksesibiliti di Subis.
“Projek ini memberi banyak manfaat kepada penduduk Subis kerana ia memudahkan orang ramai mendapatkan akses laluan ke sekolah, pusat kesihatan dan pasar Bekenu,” ujar beliau.
Menurutnya, projek melibatkan peningkatan jalan batu kerikil sepanjang 6.5km kepada jalan berturap dan pembinaan jalan baharu sepanjang 3.5km.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis pecah tanah Projek Menaiktaraf Jalan Kampung Rambai ke Kampung Bulau pada Khamis lalu.

Sementara itu, Rosey berkata, dua jambatan konkrit akan dibina merentasi Sungai Sibuti dan Sungai Mutap Kechil untuk meningkatkan akses dan keselamatan pengguna jalan.
“Projek ini akan menyokong pertumbuhan ekonomi dengan memudahkan pergerakan hasil pertanian dan perniagaan tempatan,” ujar beliau.
Beliau turut meluahkan rasa penuh kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini.
“Saya juga menyeru agar kita terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini,” kata Rosey.
Majlis pecah tanah ini menandakan permulaan fasa pembinaan yang dijangka siap mengikut jadual.
Penduduk setempat mengalu-alukan projek ini sekali gus berharap ia dapat memudahkan urusan seharian mereka.





