
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah dengan tegas menafikan semua dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam seperti tuntutan dalam writ saman Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. (SFI).
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, kerajaan negeri bersedia menentang tuntutan saman tersebut yang dikemukakan oleh firma guaman Chin Jingulam & Associates yang mewakili SFI.
“Kami mengambil serius dakwaan ini dan kami ingin menegaskan bahawa tuntutan ini bukan sahaja tidak berasas malah mengganggu dan menyusahkan, memandangkan terdapat proses perundangan yang sedang berjalan antara pihak-pihak yang terlibat.
“Justeru, kami akan menentang tuntutan ini dan kami akan memfailkan pembelaan yang menyeluruh. Kami tidak akan membiarkan dakwaan tidak berasas ini dibiarkan tanpa dicabar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima writ saman daripada firma guaman tersebut pada 17 Mac 2025 (Selasa).
Menurut Brenndon, pihaknya komited dalam melindungi reputasi Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri serta integriti keputusan yang telah dibuat.
“Kami akan memfailkan memorandum kehadiran pada hari ini.
“Perkara ini akan dibawa ke mahkamah dan kami percaya keputusan yang adil akan dapat dicapai,” katanya.



