LAHAD DATU – Dua penunggang motosikal termasuk seorang remaja maut selepas motosikal mereka bertembung dalam nahas di Jalan Felda Sahabat 40, di sini, pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supritenden Jimmy Panyau berkata, kedua- dua mangsa masing-masing warga Indonesia berumur 43 tahun dan warga Filipina berumur 17 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Siasatan awal polis mendapati, dalam kejadian pukul 6.15 petang itu, motosikal jenis Comel JMP-110 ditunggang lelaki, 43, dari arah Felda Sahabat 30 menuju Kembara Sakti.
“Di lokasi kejadian, tiba-tiba motosikal Suzuki ditunggang lelaki, 17, dari arah Kembara Sakti dipercayai hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung dengan motosikal Comel tersebut,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Jelas Jimmy, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu manakala sampel darah diambil untuk ujian alkohol dan dadah di Jabatan Kimia Kota Kinabalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke IPD Lahad Datu.
“Semua pengguna jalan raya dinasihat agar sentiasa berhati-hati dan memandu dengan berhemah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Anggota kapal selam diseru terus tingkatkan ilmu, kemahiran dan integriti
KOTA KINABALU – Semua anggota kapal selam diseru untuk terus meningkatkan ilmu, kemahiran serta integriti bagi memastikan keupayaan operasi aset strategik negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.Panglima Tentera Laut, Laksamana…
Lebih lanjut



