
PUSA – Program Jelajah Ihya Ramadan 1446H/2025M di Masjid Rahmaniah Kampung Pusa pada Khamis menjadi inisiatif penting dalam menyemarakkan keistimewaan Ramadan sambil memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor menegaskan program ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform untuk memupuk perpaduan dan menyemai amalan mulia dalam kalangan umat Islam.
“Ia memberi peluang kepada umat Islam untuk menghidupkan malam-malam Ramadan dengan pelbagai amalan mulia seperti bersedekah, membaca Al-Quran, dan melaksanakan Qiamulail.
“Aktiviti seperti ini memperkukuh keimanan serta mempererat hubungan antara pemimpin dan rakyat,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar usaha seperti ini diteruskan untuk memastikan keberkatan Ramadan dapat dirasai semua lapisan masyarakat.
Program ini anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), dan Baitulmal Sarawak.
Selain itu, seramai 10 asnaf menerima sumbangan daripada Baitulmal Sarawak yang telah disampaikan oleh Razaili Gapor.
Dengan sokongan pelbagai pihak, program ini bukan sahaja menjadi medium menyampaikan bantuan, tetapi juga mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat Islam.
Turut hadir Amir Ridzuan Mohammad, Wakil Residen Bahagian Betong; Jamian Wahab, Pegawai Daerah Pusa; dan wakil-wakil dari JAKIM, JAIS, serta kariah Masjid Rahmaniah Pusa.





