
KOTA KINABALU – Dua lelaki tempatan ditahan atas cubaan mengedar dadah seberat 63.55 kilogram yang bernilai kira-kira RM3 juta, ke negara jiran.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tangkapan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah ke atas lelaki 30 dan 33 tahun itu dibuat di kawasan tempat letak kereta berhadapan sebuah pasar raya di Penampang pukul 9 malam pada 27 Februari lalu.
“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan Toyota Land Cruiser yang dinaiki suspek, menemukan empat kotak besar yang mengandungi 63.55 kilogram dadah jenis syabu bernilai lebih kurang RM3 juta nilai pasaran di Sabah yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Kedua-dua suspek kini sedang ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga 7 Mac ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabit kesalahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada Rabu.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek adalah berperanan sebagai transporter yang sudah bergiat aktif sejak tahun lalu.
Katanya, menurut siasatan suspek akan membawa bekalan dadah ke pantai timur Sabah sebelum dibawa keluar ke negara jiran.
“Siasatan mendapati bekalan dadah terbabit dibawa masuk dari semenanjung melalui kurier dan dibawa oleh suspek menaiki jalan darat ke pantai timur Sabah,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, ujian awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan tidak memiliki rekod lampau.
Jauteh berkata, pihak JSJN Kontinjen Sabah juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket lain serta hubungan bagi rampasan susulan yang sudah dilaksanakan sebelum ini.





