USAHA membanteras jenayah dalam talian bukan hanya menjadi fokus kerajaan Malaysia, bahkan turut diberi perhatian negara Asean lain.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Malaysia tidak lagi boleh berdiam diri dan membiarkan rakyat negara ini terdedah kepada jenayah siber yang semakin tidak terkawal.
“Lebih RM1 bilion wang rakyat Malaysia lesap akibat kena ‘scam’ di pelbagai platform media sosial tahun lepas.
“Manakala untuk buli siber, tak kurang 10 kes dilaporkan setiap hari.
“Ini bukan perkara yang boleh dipandang remeh. Angka tersebut sangat membimbangkan,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Fahmi menjelaskan, perkara itu antara yang dibangkitkan ketika beliau ditemu bual rangkaian Channel News Asia (CNA) di Singapura semalam.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah mengumumkan keperluan untuk perkhidmatan media sosial dan pesanan internet – yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna – berdaftar di Malaysia.
“Menerusi kerangka kawal selia baharu itu, penyedia media sosial perlu bertanggungjawab terhadap kegiatan jenayah yang berlaku di platform mereka.
“Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa jenayah siber,” tegasnya.





