
MESIR bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam penganjuran konvensyen dan seminar pengukuhan Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan menumpukan perspektif peradaban Islam melibatkan para ulama, pemikir dan sarjana Islam.
Menurut Perdana Menteri, Kementerian Wakaf Mesir juga akan memberi dukungan bagi pelaksanaan program pembangunan insan dalam kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir selaras usaha melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Jelasnya, perkara itu antara yang dibincangkan dan dicapai ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr Usamah As-Sayyid Ahmed Muhammad Al-Azhary pagi tadi.
“Kami berkongsi pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama Malaysia-Mesir susulan pertemuan saya dengan Presiden Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini.
“Syeikh Dr Usamah turut menyatakan dukungan penuh terhadap konsep Madani yang berkait rapat dengan asas peradaban Islam dan sejarahnya yang mengakar dalam wacana ilmiah dan siasah Islam kontemporari.
“Moga hubungan erat Malaysia-Mesir bertambah kukuh, termasuk menerusi peranan Universiti Al-Azhar dalam memperkasakan peradaban Islam dan kecemerlangan watan pada masa akan datang,” katanya dalam hantaran Facebook.








