
PUTRAJAYA – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kematian warga emas lelaki orang kurang upaya (OKU) yang terjatuh dan dilanggar kereta api di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Rapid Rail dalam kenyataan berkata, sebagai langkah keselamatan, pihak operasi telah menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen tersebut bagi memberi laluan pada pihak polis, bomba dan pasukan ambulans di lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.
Menurut kenyataan itu, Rapid Rail memohon maaf kepada semua penumpang terjejas akibat daripada kejadian dan kelewatan perjalanan yang berlaku akibat insiden itu.
“Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian tersebut dan akan memastikan perkhidmatan laluan Ampang/Sri Petaling kembali seperti biasa secepat mungkin.
“Buat sementara waktu, tiada perkhidmatan tren di stesen PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.
“Perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pengguna yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada pegawai stesen dan polis bantuan di stesen berkenaan.
“Sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini menerusi laman media sosial Rapid KL dan pengumuman di stesen,” ujarnya.








