RUU Perkhidmatan Parlimen dibentang Isnin depan

PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas untuk diluluskan pada sidang Parlimen kali ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, bacaan kali pertama dan perincian bagi kedua-dua RUU tersebut akan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Februari 2025.

Menurutnya, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.

“RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Tambahnya, Jemaah Menteri turut bersetuju dan mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bacaan kali kedua yang dijangka pada 4 Mac 2025.

“Langkah ini adalah bukti iltizam Kerajaan Madani terhadap usaha melaksanakan agenda reformasi serta memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara,” ujarnya.

Sebelum ini, semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) pada sesi sidang Dewan Rakyat ke-14, Azalina berkata, cadangan penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen merupakan antara agenda reformasi institusi yang direncanakan Kerajaan Madani.

Inisiatif itu katanya sebagai usaha memartabatkan Parlimen Malaysia menerusi doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif. 

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, melalui cadangan itu, perkhidmatan Parlimen yang baharu akan mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia termasuk perkara melibatkan pengurusan sumber manusia, pentadbiran dan kewangan serta perkara-perkara berkaitan. 

Malah, katanya bagi penggubalan RUU itu, beberapa sesi libat urus telah berjalan sejak 2023 dengan komitmen daripada pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Mengenai tambahan peruntukan kepada Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025, Azalina berkata, ia antara lain melibatkan peruntukan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang menjadi badan pemantau.

“Bagi saya itu tanda yang baik sebab Jawatankuasa Pilihan Khas diduduki oleh kedua-dua pihak, pembangkang dan kerajaan. Saya percaya setiap jawatankuasa ini perlu dilengkapi dengan peranan untuk menjadi badan memantau dan saya yakin akan menggalakkan tanggungjawab (masing-masing),” katanya.

Related Posts

Cadang tangguh PRN perlu dinilai dengan realistik

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor ditangguhkan perlu dinilai secara realistik khususnya jika alasan penangguhan itu dikaitkan dengan faktor geopolitik semasa. Setiausaha Agung PKR,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan selaras dasar ekonomi tangani tekanan kos, pastikan bekalan terus terjamin

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyelaras semula dasar ekonomi bagi mengurus peningkatan kos, di samping memastikan bekalan dan keperluan asas rakyat kekal mencukupi dalam menghadapi krisis bekalan global. Menteri Ekonomi, Akmal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Cadang tangguh PRN perlu dinilai dengan realistik

Cadang tangguh PRN perlu dinilai dengan realistik

Kerajaan selaras dasar ekonomi tangani tekanan kos, pastikan bekalan terus terjamin

Kerajaan selaras dasar ekonomi tangani tekanan kos, pastikan bekalan terus terjamin

Kerajaan atur semula strategi pelancongan, fokus pasaran berdaya tahan

Kerajaan atur semula strategi pelancongan, fokus pasaran berdaya tahan

Kerjasama strategik pertingkat hubungan PBT dan masyarakat di Sandakan

Kerjasama strategik pertingkat hubungan PBT dan masyarakat di Sandakan

Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James

KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James