
MELAKA – Pelumba basikal negara Muhammad Hafiq Mohd Jafri btekad hadiahkan pingat kepada negeri kelahirannya Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan dijadualkan berlangsung di Sarawak bulan depan.
Hafiq berkata, acara yang bakal beliau sertai itu bukanlah suatu acara kegemarannya, namun atlet muda itu tetap akan memberikan kayuhan terbaik sekali gus ingin menaiki podium.
Atlet muda yang berasal dari Tanjung Bidara itu tidak menetapkan sebarang warna pingat pada kemunculan sulung di SUKMA itu nanti, walaubagaimanapun, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat dan melihat peluang yang sangat cerah menerusi acara kriterium.
“Sebenarnya kepakaran saya ialah acara berbasikal trek tetapi di SUKMA tiada acara berkenaan, bagi saya saingan untuk lebuh raya dan kriterium itu seperti trek ketahanan.
“Saya menganggap ini sebagai cabaran dan akan berikan yang terbaik pada perlumbaan itu nanti,” katanya kepada pemberita.
Ujarnya lagi, selain Muhammad Afiq, Iskandar Hasyim juga merupakan rakan saingan hebat di SUKMA itu nanti. Masing-masing merupakan pelumba kebangsaan dari Terengganu dan Johor.
Muhammad Hafiq sebelum ini pernah memenangi dua pingat perak pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 serta satu gangsa di Sukan Remaja Komanwel Trinbago 2023.
Acara berbasikal lebuh raya SUKMA Sarawak 2024 akan dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 17 Ogos ini di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem.







