
KES “safe house’ yang membabitkan ahli politik menyimpan wang berjumlah RM5 juta di rumah itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata SPRM telah siap menjalankan siasatannya namun kertas siasatan dikembalikan timbalan pendakwa raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
“SPRM dalam tindakan melaksanakan arahan tindakan lanjut tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menegaskan, undang-undang melarangnya daripada mendedahkan butiran siasatan sehingga individu terbabit dituduh di mahkamah.
Azalina menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang bertanyakan perihal kelewatan untuk mendakwa individu berprofil tinggi, termasuk ahli politik yang terlibat dalam kes berkenaan.
Oktober lalu, SPRM memaklumkan salah seorang suspek yang ditahan dalam siasatan telah mendedahkan ‘safe house’ digunakan untuk menyimpan hasil rasuah, kira-kira SGD1,529,000. Wang itu kemudiannya dirampas pihak berkuasa.
Ahli politik itu dipercayai mengarahkan seorang ahli perniagaan menyimpan wang itu, yang diberikan individu tidak dikenali, di pangsapuri di Kuala Lumpur.
Wang itu disimpan untuk digunakan ahli politik terbabit dalam aktiviti politiknya, dedah sumber SPRM.
Media melaporkan bekas eksekutif kanan Menteri Besar Selangor Incorporated seorang daripada dua individu yang ditahan SPRM dalam siasatan ke atas konsesi perlombongan pasir diberikan anak syarikat cabang pelaburan negeri itu.
Bekas eksekutif dan suspek kedua, seorang ahli perniagaan, didakwa mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin pembangkang yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.
Azalina menambah, tiada tempoh ditetapkan untuk menyiapkan siasatan.
“Tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikan siasatan dan mengemukakan hasil siasatan kepada TPR untuk tindakan pendakwaan bergantung kepada kompleksiti setiap kes tersebut,” katanya.



